≡ Menu

Bagaimana Cara Berwuduk?

Wuduk Cara Rasulullah

Bagaimana Berwuduk?

Wuduk disyariatkan bagi mengangkat hadas kecil untuk membolehkan ibadah seperti solat, bertawaf dan sebagainya.

Rasulullah s.w.a. bersabda yang bermaksud: “Allah s.w.t. tidak akan menerima solat salah seorang daripada kalian ketika berhadas sehingga dia berwuduk.”  ( Riwayat al-bukhari dan muslim )

Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu hingga ke siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu hingga kedua-dua buku lali.”  ( Surah al-ma’idah 5: 6 )

Jelas melalui ayat di atas, tatacara berwuduk telah dijelaskan oleh Allah dalam al-quran.

Cara berwuduk adalah seperti berikut:

Membaca Bismillah

Membasuh kedua-dua belah tangan hingga ke pergelangan tangan, berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam hidung dan menghembuskannya kembali.

Niat untuk menghilangkan hadas kecil.

Niatnya: “Sahaja Aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Ta’ala” atau “Sahaja aku mengambil wuduk kerana Allah Ta’ala”.

(Caranya: Membasuh muka sambil berniat mengambil wuduk, tempat berniat adalah didalam hati, boleh niat itu dilafazkan dengan mulut bagi orang yang baru belajar).

Membasuh Muka. (Membasuh muka sambil berniat mengambil wuduk).

Daerah wajah meliputi dari cuping telinga hingga ke cuping telinga sebelah satu lagi dan dari anak rambut di atas dahi hingga ke bawah dagu.

Membasuh kedua-dua tangan hingga ke siku.

Mengusap sebahagian kepala.

Mengusap kedua-dua belah cuping telinga.

Membasuh kaki hingga buku lali.

Perhatian: Sunat dimulai dengan anggota kanan dan diulangi sebanyak tiga kali.

Secara detil mengenai Rukun Wuduk, Sunat Wuduk dan Perkara Makruh Semasa Wuduk

– Rukun Wuduk

Wuduk jadi sempurna, kerana sempurna rukunnya. Rukun wuduk ada enam perkara.

1- Niat.

2- Membasuh muka.

Kawasan muka – panjangnya ialah daripada tempat tumbuh anak rambut hingga ke bawah dagu dan lebarnya ialah daripada anak cuping telinga kiri hingga anak cuping telinga kanan.

3- Membasuh tangan hingga ke siku.

4- Menyapu kepala.

Kawasan kepala – memadai menyapu atau mengusap sebahagian kepala.

5- Membasuh dua kaki hingga ke buku lali kaki.

6- Tertib.

Mengikut turutan – tidak boleh didahulukan tangan daripada kepala atau kaki daripada tangan.

– Sunat Wuduk

1- Menggosok gigi.

2- Membaca Bismillah di awal wuduk.

3- Membasuh kedua-dua belah tangan hingga ke pergelangan tangan sewaktu awal wuduk.

4- Berkumur-kumur dengan air.

5- Menyedut air ke dalam hidung menggunakan tangan kanan dan menghembuskannya ke tangan kiri.

6- Meratakan air ke dalam janggut (bagi lelaki yang berjanggut tebal dan panjang).

7- Menyapu kedua cuping telinga luar dan dalamnya.

8- Mengulang-ulangi membasuh semua anggota wuduk tiga kali setiap anggota.

9- Memulakan dengan mendahulukan membasuh anggota kanan kemudian kiri.

10- Menggosok anggota dengan air menggunakan tangan.

11- Membasuh tangan lebih daripada had siku ke atas sedikit dan lebihkan daripada paras buku lali.

12- Menjimatkan penggunaan air ketika berwuduk.

13- Menghadap ke kiblat ketika berwuduk.

14- Membaca doa wuduk sebaik sahaja selesai berwuduk.

– Makruh Semasa Wuduk

1- Berwuduk dalam keadaan tidak berpakaian.

2- Berwuduk dalam tandas.

3- Bercakap-cakap semasa mengambil wuduk.

4- Menggunakan air panas atau Air Musyammas (Air yang panas kerana pancaran Matahari).

5- Memulakan membasuh anggota wuduk dengan anggota kiri.

6- Meninggalkan perkara-perkara sunat wuduk.

7- Membasuh atau menyapu anggota wuduk melebihi daripada 3 kali atau mengurangnya.

8- Mengunakan air secara berlebih-lebihan ketika berwuduk.

Wallahu’alam….
hasnulhadiahmad.com

{ 1 comment… add one }
  • rabiahmn July 8, 2014, 10:29 pm

    Assalam, saya mnta izin copy ya. Terima kasih ya

Leave a Comment

CommentLuv badge