≡ Menu

Fahaman Anti Tuhan Merendahkan Martabat Manusia

Dalam proses membina keutuhan kerohanian bagi meningkatkan kualiti Insaniah untuk melayakkan manusia berstatus hamba Allah dan khalifah di bumi, perhatian perlu sekali diberi kepada gangguan-gangguan dalam proses tersebut menerusi pengetahuan yang mendalam mengenai gangguan tersebut untuk dielakkan atau dimusnahkan. Jika ia telah menetap dihati, ia sebagai tompkan-tompokan hitam yang mesti dikikis dari hati itu, supaya hati dapat digilapkan.

Halangan yang terbesar ialah halangan kufur. Disini akan dihuraikan secara lebih terperinci mengikut susunan keutamaannya. Senarai teratas dalam senarai kekufuran ialah kekufuran Ilhad dan ingkar iaitu kekufuran yang terbit dari sikap anti tuhan, Atheis dan tidak mengakui adanya tuhan. Justeru tidak percaya adanya tuhan, maka mereka tidak dapat menghayati kepercayaan-kepercayaan yang lain yang berbangkit darinya. Mereka tidak percaya adanya kitab-kitab Allah, rasul-rasul, hari akhirat dan kepercayaan-kepercayaan lain yang dibawa oleh para rasul yang diutus oleh Allah s.w.t.

Kepercayaan dan keyakinan mereka ada disebutkan dalam surah Al-Ana’am ayat 22 yang bermaksud:

“Tidak ada kehidupan selain dari kehidupan kami didunia dan kami tidak akan dibangkitkan kembali”
Ini adalah keadaan hati para materialistik setiap zaman dan diatas asas inilah tertegaknya fahaman komunis pada zaman kita dan kaum mulhid di zaman lampau. Terdapat pula golongan lain selain dari komunis yang menganut kepercayaan anti tuhan pada umumnya diistilahkan sebagai Atheis, walaupun mereka tidak menganut fahaman komunis.

Bagi golongan komunis, mereka bukan sekadar anti tuhan, tetapi anti agama. Menurut mereka adanya benda berpunca dari benda. Agama bagi mereka adalah sesuatu yang karut, sebagaimana tuhan itu sesuatu yang dongeng. Setiap golongan Atheis percaya bahawa bukanlah tuhan yang mencipta manusia dan alam, tetapi manusialah yang mencipta tuhan.

Terdapat golongan Atheis yang tidak percaya adanya tuhan tertapi tidak menolak agama. Walaupun demikian agama bagi mereka adalah daripada realiti kemanusiaan. Menurut Karen Amstrong, Homo Sapiens adalah juga Homo Religious. Lelaki dan perempuan mula menyembah tuhan seawal mereka dikenali sebagai manusia. Mereka mencipta agama semasa dengan mereka mencipta kerja-kerja seni (Karen Amstrong – xix 1993).

Kepercayaan anti tuhan adalah kekufuran terbesar dan paling dahsyat. Kesesatan ini berada dikemuncaknya. Allah s.w.t. berfirman didalam surah An-Nisa’ ayat 136 yang bermaksud:

“Sesiapa yang kufur terhadap Allah, MalaikatNya, KitabNya, RasulNya dan Hari Qiamat, maka ia telah sesat sejauh-jauhnya”

Kufur yang dibawah dari kufur yang berasaskan kufur anti tuhan ialah kufur syirik seperti kemusyrikan arab jahiliyah. Kufur ini diamalkan kebanyakannya oleh penyembah berhala. Mereka beriman kepada adanya tuhan yang mencipta alam semesta, menentukan hidup dan mati dan kepadanya bergantung semua yang ada didalam alam ini dari urusan rezeki dan lain-lainnya. Pendekata mereka beriman kepada tuhan dari segi Rububiah dan ketuhananNya. Tetapi mereka meyekutukan tuhan dari aspek dari segi Uluhiah atau peribadatan. Mereka beribadah kepada tuhan bersama dengan beribadah kepada yang lain daripadanya atau mereka tidak beribadah kepada tuhan, tetapi mereka mengambil dewa-dewa mereka sebagai sembahan selain dari tuhan sebagai objek untuk diibadahkan.

Mengenai kekufuran syirik ini Al-Quran menyebut bahawa mereka mempercayai adanya Allah. Allah berfirman dalam surah Al-Zukhruf ayat 9 yang bermaksud:

“Jika engkau menanyakan mereka siapa yang mencipta langit dan bumi, nescaya mereka akan berkata, yang menciptakannya ialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui”

Meskipun mereka beriman kepada Allah tetapi mereka tidak beribadah kepada Allah dan tidak menyembahnya. Sebaliknya merak menyembah pokok-pokok, binatang-binatang, berhala-berhala mengikut khayalan mereka dan berbagai objek yang lain. Alasan mereka seperti yang disebutkan dalam Al-Quran, surah Al-Zumar ayat 3 yang bermaksud:

“Kami tidak menyembah mereka melainkan untuk mendekatkan kami kepada Allah yang jauh”

Tetapi pada hakikatnya, mereka menyembah dan beribadah kepada yang yang lain daripada Allah yang tidak berkuasa mendatangkan kepada mereka apa-apa manfaat dan mudarat dan mereka berkeyakinan objek yang mereka sembah itu boleh memberi syafaat atau bantuan disisi Allah s.w.t. Allah berfirman dalam surah Yunus ayat 18 yang bermaksud:

“Mereka beribadah kepada yang lain dari Allah yang tidak berkuasa memberi mudarat dan manfaat kepada mereka dan mereka berkata, mereka itu (objek-objek yang disembah itu) pemberi-pemberi bantuan kepada kami disisi Allah s.w.t.”

Kefahaman syirik didokong oleh berbagai-bagai agama penyembah berhala seperti agama orang-orang jahiliyah Arab, Majusi, Hindu, Buddha dan lain-lain.

Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, syirik adalah pemikiran keanak-anakan dan kebodohan yang jelas dan nyata. Bagaimanapun kekufuran dalam bentuk ini dianuti oleh bermilion manusia dibenua Afrika dan Asia. Inilah kekufuran yang paling ramai dianuti dan pengikutnya. Antara hampir satu billion manusia di China, berjuta-juta di India Kambodia, Burma, Jepun dan lain-lain.

Kekufuran yang lebih ringan daripada kekufuran syirik ialah kekufuran Ahlul Kitab, iaitu pengikut nabi-nabi dan rasul-rasul tedahulu yang telah menyimpang dan menyeleweng daripada ajaran sebenar nabi-nabi dan rasul-rasul itu. Sebahagian mereka telah menyeleweng sehingga termasuk kedalam golongan syirik. Sebahagian mereka yang masih berpegang kepada tauhid dari segi kepercayaan ketuhanan, tetapi konsep tauhid itu sendiri tidak lagi jelas dan mereka menolak ajaran nabi Muhammad s.a.w. yang mengajak mereka kembali kepada ajaran tauhid yang sebenar. Ahlul Kitab terdiri dari orang-orang Yahudi dan Kristian. Kekufuran mereka dalah dari segi penolakan terhadap ajaran yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w. dan mengingkari kerasulannya serta menolak Al-Quran sebagai wahyu yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w.

Dunia Kristian adalah luas, terdiri daripadabenua Eropah barat dan timur, Australia, sebahagian dari Asia, Amerika Utara dan Selatan, sebahagian Afrika dan terdapat pula penganut-pengannut Kristian dimerata-merata tempat, termasuk dinegara-negara yang tergolong dalam dunia Islam.

Penduduk di dunia Kristian ini pada umumnya percayakan adanya tuhan. Tunjauan yang dibuat baru-baru ini menunjukkan bahawa sembilan puluh peratus (90%) penduduk Amerika berkata bahawa mereka percaya kepada tuhan (Amstrong, 1993:xxii), tetapi tidak dapat dipastikan persepsi mereka mengenal tuhan, samada berasaskan triniti seperti yang dianjurkan oleh gereja atau mempunyai persepsi sendiri mengenai tuhan.

Bagaimanapun, fenomena keugamaan di barat menunjukkan bahawa mereka tidak lagi beriltizam dengan agama Kristian versi gereja Katholik atau Protestan, walaupun mereka masih menganggap diri mereka beragama Kristian. Banyak gereja dibarat telah ditutup atau dijual, kerana tiada lagi kegiatan ibadat atau apa-apa kegiatan agama yang dijalankan digereja-gereja tersebut dan terbiar menjadi bangunan usang.

Konsep triniti adalah tanggapan yang bersifat syirik, walaupun masih dikatakan tauhid oleh oleh pendita-pendita Kristian. Tetapi dakwaan bahawa triniti masih mengekalkan hakikat tauhid sukar dijelaskan oleh mereka.

Triniti dikalangan pengikut ajaran Kristian dizaman Rasulullah s.a.w. telah dijelaskan didalam Al-Quran. Mereka menjadikan Isa sebagai tuhan selain daripada Allah, Isa dipercayai oleh mereka sebagai anak Allah sebagaimana Uzair dijadikan oleh orang-orang Yahudi sebagai anak Allah. Di dalam risalah-risalah dakwah Kristian, tumpuan banyak diberikan kepada Yesus iaitu Yesus sebagai penyelamat dan keyakinan kepada Yesus. Tumpuan tidak sangat diberikan tuhan bapa, tetapi kepada tuhan anak. Penyelewengan kepada hakikat tauhid adalah jelas apabila dikaji daripada risalah-risalah dakyah Kristian. Ini bermakna pada umumnya, kepercayaan ketuhanan didalam kepercayaan Kristianisasi, berpegang kepada asas yang sama iaitu triniti, dari zaman dahulu hingga sekarang, walaupun penjelasan mungkin berubah-ubah disetiap zaman.

Sebenarnya, akidah Kristian telah dimasuki dan dipengaruhi oleh pelbagai pengaruh luar terutama pengaruh kepercayaan keberhalaan peninggalan tamadun Romawi dan juga tafsiran-tafsiran berbagai falsafah dan fahaman antropomorphism yang menyerupakan Allah sama sebagai manusia.

Tetapi dalam penyelewengan tauhid orang-orang Yahudi, keadaan agak berbeza, kerana tidak banyak pengaruh. Pengaruh luaran di dalam penyelwengan itu agak terbatas dibandingkan dengan keadaan yang terjadi didalam agama Kristian. Penyelewengan terjadi daripada tafsiran pendeta-pendeta mereka sendiri.

Walaupun orang-orang Yahudi dan Kristian atau Nasrani terjebak dalam kekufuran, tetapi kedudukan mereka hampir dengan orang-orang Islam, kerana mreka masih mempercayai keesaan tuhan, masih yakin dengan ajaran-ajaran agama yang dibawa oleh rasul-rasul yang diutus oleh tuhan dan beriman kepada hari Akhirat.

Kekufuran mereka disebabkan mereka tidak menerima pembetulan terhadap penyelewengan daripada akidah tauhid yang sebenar yang dibawa oleh utusan Allah yang terakhir iaitu nabi Muhammad s.a.w. Ini dapat dilihat daripada sikap orang-orang Yahudi dizaman Rasulullah s.a.w. Walaupun keterangan mengenai nabi yang terakhir itu adalah jelas sepertimana yang tercatit dalam kitab-kitab mereka, tetapi mereka menolak kerasulan nabi Muhammad itu kerana fanatik perkauman dan kerana angkuh kepada kedudukan bangsa mereka. Mereka tidak bersedia menerima pembaharuan dan pembetulan atas agama yang mereka anuti yang telah terpesong daripada ajaran nabi Musa alaihissalam. Mereka tidak menerima hakikat bahawa risalah nabi Musa alaihissalam itu telah digantikan dengan risalah nabi Muhammad s.a.w. Kekufuran mereka jauh lebih ringan daripada kekufuran golongan anti tuhan dan golongan musyrikin.

 

Wallahu’alam….

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment

CommentLuv badge