≡ Menu

Melupuskan Naskhah Al-Quran Usang

Kitab suci al-Quran adalah kalam Allah yang paling suci dan wahyu-Nya yang terakhir. Kata pepatah Arab: Kalam al-muluk, muluk al-kalam. Maksudnya: Ucapan raja-raja, raja segala ucapan.

Justeru tiada bacaan lebih keramat daripada al-Quran, maka kekeramatannya wajib dipelihara, sama ada waktu kitab itu sedang turun ataupun telah berlalu beberapa abad lamanya.

Setiap Muslim hendaklah memelihara kitab al-Quran dengan sebaik-baiknya. Kitab ini tidak boleh dibuang merata-rata, dikoyak atau diletak pada tempat yang menjejaskan kesuciannya. Sebaliknya hendaklah dihormati, disimpan pada tempat-tempat yang suci dan terpelihara, supaya tidak ditiup angin dan membawanya merata-rata atau disentuh kanak-kanak yang tidak tahu menghormatinya.

Sesungguhnya al-Quran tidak boleh disentuh oleh orang yang berhadas. Orang kafir tidak dianggap suci dalam konteks menyentuh dan membawa al-Quran. Paling kotor ialah kejahilannya yang tidak dapat membezakan antara al-Quran dan bahan-bahan cetak yang lain.

Menghormati al-Quran bukan lagi suatu pilihan yang dilakukan atas kehendak peribadi, tetapi kewajipan itu dikuatkuasakan oleh kehendak masyarakat terhadap semua orang Islam. Pada masa yang sama pula, kewajipan ini dianggap sebahagian daripada budaya bangsa Melayu.

Budaya bangsa ini mengajar anak-anak menghormati al-Quran, meletaknya dengan perlahan di atas papan rihal ketika mengaji, membalutnya dengan kain suci, mengucupnya tatkala mengambil dan menyimpan. Budaya ini mengajar bahawa al-Quran tidak boleh diletak pada tempat yang sama parasnya dengan tapak kaki, kaki pula tidak harus dihulur ke arah al-Quran.

Al-Quran tidak boleh dibawa masuk ke negeri-negeri yang bermusuh dengan Islam kerana dibimbangi keselamatannya dicerobohi, tidak boleh dibawa masuk tandas, tidak boleh ditulis pada pakaian harian dan tidak boleh dibaca oleh orang yang masih dalam hadas besar.

Al-Quran biasa ditulis dengan seni khat yang istimewa bagi menghiasi pintu-pintu istana dan rumah-rumah mewah. Bentuk huruf al-Quran tidak biasa ditulis dengan khat biasa, tidak pernah juga ditulis dengan mesin tapi sebaliknya al-Quran ditulis pengkarya khat yang terbaik seperti Uthman Taha penulis Mushaf al-Quran yang dicetak oleh kerajaan Arab Saudi dan kumpulan penulis khas Mushaf al-Quran Malaysia yang diselia Ustaz Muhammad Yusuf Bakar, pengkarya seni khat terkenal di Malaysia.

Menulis al-Quran dengan huruf rumi juga dianggap suatu penghinaan. Majalah-majalah yang memakai ayat al-Quran juga sepatutnya tidak dibenarkan menulis ayat-ayat al-Quran sesuka hati. Sudah tiba masanya, pihak-pihak yang bertanggungjawab menguatkuasakan aturan menulis al-Quran, seperti juga aturan mencetak al-Quran yang dikawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sepanjang pengetahuan saya, belum ada suatu peraturan di negara ini melarang orang bukan Islam menjamah atau menyentuh kitab suci al-Quran. Mereka boleh menyentuh, membaca, menjual dan membelinya, sekalipun sentiviti umat Islam begitu tersentuh apabila mereka memegang dan menyentuhnya dengan cara yang tidak sopan.

Kedai-kedai fotocopy bukan Islam sepatutnya tidak dibawa al-Quran untuk disalin atau dibuat panduan padanya kerana jika ada helaian yang rosak, nescaya dimasukkan ke dalam bakul sampah atau dikhuatiri diletaknya dalam bakul yang tidak sesuai dengan kesuciannya. Sepatutnya jika ada yang tidak layak digunakan hendaklah ia dimusnahkan dengan cara yang terhormat.

Penyediaan al-Quran di hotel-hotel besar juga perlu dikaji semula baik buruknya, kerana diberitakan ada penginap-penginap hotel yang tidak peka dengan kesucian al-Quran, lalu mengoyak dan membuangnya, sama ada kerana jahil atau buruk hati terhadapnya. Hal ini sepatutnya tidak berlaku. Ini tidak pula menafikan niat suci pihak-pihak yang menyediakan al-Quran itu untuk bacaan penginap-penginap hotel.

Ulama-ulama Islam menyebutkan kaedah melupuskan al-Quran yang tidak mampu lagi disimpan dengan baik berkata: Jika al-Quran tidak mampu lagi disimpan atau dipelihara kesuciannya dengan apa jua cara, misalnya naskhah yang tersalah cetak di kilang-kilang cetak, atau kedai-kedai fotocopy dan sebagainya, hendaklah direndam bahan itu ke dalam air yang bersih. Air basuhannya hendaklah dibuang pada tempat-tempat yang terhormat, seperti di laut atau sungai-sungai besar.

Jika tulisan itu menggunakan cecair dakwat yang bermutu tinggi, kira-kira tidak mudah hilang dengan dibasuh, maka haruslah dibakar dengan niat ikhlas kerana memelihara kehormatannya daripada dihina atau dibiarkan berada pada tempat-tempat kotor, kemudian debunya dibuang atau ditanam pada tempat-tempat yang tidak terdedah kepada tapak-tapak kaki manusia atau haiwan.

Tentang al-Quran yang tidak memakai resam Uthmani, jika benar ada arahan rasmi daripada jabatan agama supaya semua naskhahnya ditukar kepada resam Uthmani, saya fikir jabatan itu mempunyai jawapannya sendiri terhadap naskhah-naskhah al-Quran yang terdahulu, sama ada melupus atau menyimpannya, kerana al-Quran itu memang boleh dipakai. Pemilihan resam Uthmani hanya untuk pelarasan bagi maksud bacaannya sahaja.

Jika tidak ada cadangan untuk menyimpan al-Quran yang resamnya bukan Uthmani, dan tidak ada jalan selain melupuskannya, saya cadangkan sebelum naskhah itu dibakar, berhubung terlebih dahulu dengan arkib atau muzium negara, supaya bahan-bahan berharga itu diserah kepadanya, atau diberi kepada mana-mana pihak yang berminat menyimpannya sebagai bahan koleksi.

Sesungguhnya bahan ini amat berharga dan sepatutnya disayangi. Saya percaya bahan ini tidak mudah diperoleh lagi. Tetapi sayang, ramai orang tidak menghargainya. Mereka lebih menyayangi barang-barang purba seperti mangkuk, pinggan, keris dan lembing untuk disimpan. Saya pernah mengemukakan idea kepada sebuah masjid di sebuah negeri di Malaysia supaya menyimpan naskhah-naskhah al-Quran dalam suatu koleksi yang lengkap. Jika tidak ada al-Quran yang tertua di Malaysia, yang tertua di negeri itu pun sudah memadai.

Cadangan ini diabai begitu sahaja dengan alasan tiada tempat di masjid, tiada pegawai yang bertugas, tiada peralatan dan sebagainya. Padahal jika idea ini disambut dengan baik, ada kemungkinan masjid itu menjadi tumpuan ramai untuk menyaksikan naskhah-naskhah purba al-Quran, sekali gus boleh menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Bagi memperkukuhkan lagi maklum balas terhadap kemusykilan tuan, saya terjemahkan di sini jawapan Syeikh Nasr Farid Wasil, mufti kerajaan Mesir. Katanya: Sesungguhnya al-Quran diturunkan daripada Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Kitab ini mulia, tidak boleh disentuh, kecuali orang-orang yang disucikan daripada kotoran (al-Waqiah: 77-79).

Umat Islam hendaklah bertanggungjawab memelihara dan menjaganya, tidak boleh dibiar al-Quran terhina, ia hendaklah diletakkan dalam sarung kemudian simpan pada tempat yang sesuai dengan kesuciannya, supaya tidak diterbang angin atau diambil kanak-kanak yang tidak faham kedudukannya.

Umat Islam wajib memelihara kitab ini dengan apa juga cara. Jika tidak dapat dipelihara lagi, hendaklah disimpan dalam peti yang kira-kira tidak perlu dibuka lagi, atau dibasuh dengan air yang bersih, supaya tulisannya hilang dan airnya dibuang pada tempat yang juga bersih. Jika tiada pilihan lain, hantarkan kepada arkib negara untuk disimpan secara profesional.

Menurut Dr. Abdul Halim Mahmud, jika Mushaf al-Quran itu sudah koyak dan tidak boleh dibaca lagi, pilihan terbaik tidak ada selain dibakar, maka haruslah dibakar sebagai jalan pilihan terakhir (Fatawa Abdul Halim Mahmud, 1/245).

Menurut Syeikh Atiyya Saqar, salah seorang ahli Majlis Fatwa al-Azhar: Membakar al-Quran diharuskan, jika tujuannya menyelamatkan dari terhina. Beliau memberi alasan bahawa Saidina Uthman pernah mengeluarkan arahan supaya membakar semua al-Quran yang ada dalam simpanan sesetengah sahabat, setelah al-Quran selesai ditulis dalam satu naskhah. Menurut sesetengah ulama dibakar lebih baik daripada dibasuh.

 

Wallahu’alam….

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment

CommentLuv badge