≡ Menu

Perang Hunain

Ghazwah Hunain berlaku pada 10 Syawal tahun ke-8 hijrah, beberapa hari selepas pembukaan Makkah.

Sebabnya; apabila Allah membuka Makkah untuk Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin Hawazin dan Thaqif menyangka setelah Rasulullah s.a.w. menyelesaikan masalah di Makkah, Baginda akan menghalakan serangan kepada mereka pula. Lantaran itu, mereka berazam untuk memulakan dahulu peperangan dengan Baginda. Mereka telah melantik Malik bin Auf sebagai ketua. Pada hari tersebut dia baru berusia 30 tahun. Malik telah memerintahkan mereka membawa segala harta, wanita-wanita, anak-anak dan binatang ternak bersama-sama ke medan perang. Dia mengarahkan demikian agar ia lebih mendorong mereka untuk terus berjuang. Bilangan pejuang mereka dalam pertempuran yang ditunggu-tunggu ini antara 20,000 hingga 30,000 orang.

Oleh yang demikian, Rasulullah s.a.w. mengisytiharkan keazaman Baginda untuk keluar memerangi mereka. Semua orang yang berada di Makkah turut keluar berperang.Mereka terdiri daripada para sahabat yang datang bersama Baginda dalam pembukaan Makkah dan orang-orang yang baru memeluk Islam. Rasulullah s.a.w. berjalan sebingga sampai ke Wadi Hunain, tiba-tiba Hawazin dan sekutu-sekutunya menyerang mereka dalam kesuraman subuh. Orang Islam telah menyerang balas menyebabkan musuh susut dan tewas.

Kemudian orang Islam sibuk mengumpul harta rampasan perang. Oleh itu, orang musyrik kembali menyerang orang Islam dengan anak-anak panah sehingga ikatan barisan tentera Islam bercerai berai. Penduduk Makkah dan orang Islam yang baru memeluk Islam lari sedangkan Rasulullah s.a.w. tetap kekal bertahan di atas baghal Baginda, seraya bersabda:

“Aku Nabi, tidak dusta. Aku keturunan Abdul Muttolib.”

Tersebar berita angin di kalangan orang Islam bahawa Nabi s.a.w. telah terbunuh. Kebanyakan mereka mencampak-kan senjata lantaran berputus asa. Namun ada sekumpulan Muhajirin dan Ansor tetap berjuang di sekeliling Baginda. Al-Abbas (beliau seorang yang bersuara lantang) menyeru orang Islam: “Rasulullah masih hidup.” Lalu orang Islam yang lari berpatah balik kepada Baginda. Bilangan mereka semakin ramai sehingga mereka mencapai kemenangan untuk kali kedua. Tentera Islam mengejar tentera musyrik,membunuh dan menawan mereka. Harta rampasan musuh amat banyak. Rasul s.a.w. terlebih dahulu membahagi-bahagikannya kepada golongan muallaf yang baru memeluk Islam, tanpa memberi apa-apa kepada Ansor berdasarkan keimanan dan kejujuran keislaman Ansor (yang tidak perlu lagi kepada balasan habuan keduniaan terhadap pengorbanan mereka).

Al-Quran telah turun berkenaan pertempuran ini,yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain,iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu;kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.

Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Dia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.

(Maksud At-Taubah: 25-26)

Peperangan ini adalah pertempuran penting yang terakhir berlaku antara Islam dan orang musyrik. Tak lama selepas itu, seluruh bangsa Arab telah memecahkan berhala-berhala dan memeluk agama Islam.

Sekian Wallahu’alam….

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment

CommentLuv badge

Next post:

Previous post: