≡ Menu

Tuntutan Solat Fardhu Berjamaah Menurut Ulamak Feqah

(3)Tuntutan Berjama`ah Menurut Ulamak Feqah:

(Di bawah tajuk ini di jelaskan bagaimana ulamak feqh memahami perintah syarak atau amalan Rasulullah s.a.w. mengenai solat berjama`ah)

Berdasarkan Al-Qur’an dan Al-Hadith,ulamak berbeza pendapat berhubung dengan hukum solat fardu berjama`ah, oleh sebab percanggahan dalil-dalil pada perkara tersebut (Ibnu Rushd, Bidayah Al-Mujtahid), seperti berikut:

Pendapat pertama:

Kata Al-Hanafiyyah dan Al-Malikiyyah serta sebahagian dari ulamak Al-Shafi`iyyah (Al-Nawawiyy, Al Majmu`dan Al-Zuhailiyy,Al-Feqh Al-Islamiyy ): Berjama`ah pada solat fardhu selain solat Jum`at adalah sunat mu’akkad keatas lelaki berakal yang mampu menunaikannya. Tidak wajib ke atas wanita kanak-kanak, hamba, orang yang tidak berkeupayaan berjalan, orang sakit, orang tua, serta orang yang terpotong tangan dan kaki.

Ianya sunat kerana merujuk kepada zahir hadis yang lalu (iaitu hadis yang bermaksud: “solat berjama`ah lebih baik dari solat berseorangan dua puluh lima kali ganda” atau “dua puluh tujuh kali ganda”) yang menunjukkan bahawa solat dalam jama`ah adalah dari jenis yang disunatkan sebagai menambah-sempurnakan lagi solat fardhu yang wajib itu, seolah-olah seperti sabda Rasulullah s.a.w. (bermaksud): “solat berjama`ah lebih sempurna dari solat seorang diri”. Keadaan yang “sempurna” adalah perkara yang melebihkan pahala, bukan tuntutan yang dimestikan.

Menurut Al-Zaahidiyy (Al-Hanafiyy), dimaksudkan dengan “sunat mu’akkad” dalam mazhab Hanafiyy ialah “wajib” (al-wujub) melainkan pada solat jum`at dan `aid maka ia adalah merupakan syarat (Ibnu`Abidin, Al-Dar Al-Mokhtar)

Pendapat kedua:

Menurut pendapat yang “asah” dari mazhab Al-Shafi`iyyah (Al-Nawawiyy, Al-Majmu`, Al-Sharbiniyy, Mughniyy Al-Muhtaj dan Al-Zuhailiyy) , hukum berjama`ah solat fardhu adalah fardhu kifayah ke atas lelaki yang merdeka, bermukim dan tidak bertelanjang, di mana solat tersebut menojolkan syi`ar jama`ah dengan mendirikannya di masjid (bukan di rumah) setiap kampung atau mukim. Jika semua enggan mendirikannya, diperangi. Tidaklah dituntut ke atas perempuan seperti tuntutan ke atas lelaki.

Di antara dalilnya, sabda Rasulullah s.a.w (pada hadis Abu Darda’) yang bermaksud.:

“”Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, samada di kampong atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Kamu hendaklah berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulan)”.

Riwayat Abu Dawud dan Al-Nasaa’iyy dengan diperakukan oleh Ibnu Habban dan Al-Hakin.

Imam Al-Shafi`iyy sendiri menyebutkan bahawa tidak harus seseorang lelaki meninggal solat berjama`ah, samaada bermukim atau bermusafir, beralasan hadis Abu Hurairah mengenai cadangan Rasulullah s.a.w. membakar rumah lelaki yang mengabaikan solat fardhu berjama`ah dan hadis Abdul Rahman bin Harmalah:

بَيْنَنَـا وَبَيْنَ المُنَافِقِيْنَ شُـهُوْدُ الْعِشَاءِ وَالصُّبْحِ، لايَسْتَـطِيْعُونَهُمَا

Bermaksud:

“Diantara kita dan golongan munafiq ialah kehadiran solat `Isya’, mereka tidak berupaya …”

(Al-Shafi`iyy, Al-Umm)

Pendapat Ketiga:

Menurut pendapat Al-Hanbaliyyah (Ibnu Qudamah, Al-Mughniyy, Al-Rafi`iyy, Fath Al-`Aziz, Al-Nawawiyy, Al-Majmu`, Al-Zuhailiyy) berjama`ah mendirikan solat fardhu adalah wajib`ainiyy, iaitu wajib ke atas setiap mukallaf.

Dalil mazhab ini dan mereka yang sama pendapat dengannya ialah ayat Al-Qur’an mengenai solat khauf dan ayat perintah ruku` bersama orang yang ruku’, hadis Abu Hurairah mengenai solat terberat ke atas golongan munafiq ialah solat `isya’ dan solat subuh, hadis Abu Hurairah mengenai Rasulullah bersumpah untuk membakar rumah lelaki yang tidak menunaikan solat fardhu berjama`ah, hadis mengenai orang rabun (seorang sahabat) yang dituntut berjama`ah jika mendengar azan, hadith Ibnu Mas`ud yang menjelaskan bahawa di zaman Rasulullah s.a.w. hanya orang munafiq sahaja yang tidak menunaikan solat fardu berjama`ah dan hadith Jabir serta Abu Hurairah yang menafikan fadhilat jiran masjid yang bersembahyang di rumah sendirian dan hadith-hadith lain-lain.

Mazhab ini, diperkuatkan lagi wajib berjama`ah solat fardhu itu, oleh perintah syarak supaya solat khauf (sembahyang fardhu dalam keadaan perang – keadaan takut) dilakukan secara berjama`ah dan juga harus melakukan solat fardhu secara jama` oleh sebab hujan, yang semua itu tidak lain melainkan kerana keperluan menjaga solat fardu supaya dilakukan secara berjama`ah.

Akan tetapi tidaklah berjama`ah itu sebagai syarat sah solat seperti di naskan oleh Imam Ahmad.

Hukum Solat Berjemaah.

Sepakat para ulamak menekankan kepentingan solat berjemaah, sekalipun mereka khilaf tentang hukumnya. Ada yang menganggapnya fardu ain seperti Imam Auzaiey, Atoa’, Ahmad, Dawuud az-Zohiri dan sebahagian muhaddisin mazhab Syafie seperti Ibnu Khuzaimah, Abu Thur dan Ibnu Hibban. Ada yang menganggapnya fardhu kifayah sebagaimana yang masyhur dalam mazhab Syafie dan ada yang menganggapnya sebagai sunat muakkadah. Imam Bukhari juga menganggap solat berjemaah itu wajib.

Kesimpulannya, hukum solat berjemaah adalah sunat muakkadah ataupun fardhu kifayah jika dilihat kepada hukumnya bagi setiap waktu sembahyang satu persatu, tetapi jika dilihat kepada hukumnya secara keseluruhan, maka hukum sembahyang berjemaah adalah fardhu ain. Ini bererti, seseorang muslim dilonggarkan untuk meninggalkan solat berjemaah sekali-sekala, tetapi tidak harus baginya untuk meninggalkannya secara berterusan, seolah-olah tidak ada sebarang ikatan antaranya dan antara solat berjemaah dan juga masjid. Kalaulah dia melakukan demikian, maka sebenarnya dia telah melakukan satu perkara yang dilarang oleh agama. Kerana inilah Rasulullah s.a.w. mengancam untuk membakar rumah-rumah orang yang tidak keluar untuk berjemaah.

Bahkan sembahyang berjemaah dan menghidupkan masjid merupakan tanda keimananannya. Firman Allah SWT: Hanyasanya yang memakmurkam masjid-masjid ialah orang yang beriman dengan Allah dan juga hari akhirat. Surah at-Taubah: 18. Sabda Rasulullah s.a.w.: Bila kamu melihat seorang lelaki yang sentiasa ke masjid, maka bersaksilah bahawa dia memang seorang yang beriman. Riwayat Ahmad dan Tirmizi. Berkata Ibnu Mas’ud: Memang jelas daripada pemerhatianku, bahawa tidak ada yang meninggalkan solat berjemaah melainkan orang munafik yang jelas sikap munafiqnya. Riwayat Muslim. Begitu juga haramnya bagi seluruh orang Islam di sesuatu kawasan untuk meninggalkan solat berjemaah, kerana itu bererti menghapuskan satu daripada syiar Islam. Maka mereka wajib dikenakan tindakan oleh pemerintah, sekalipun mereka semua menganggap hukumnya hanyalah sunat muakkadah.

Adapun berjemaah pada solat sunat, maka ia adalah harus, kerana Rasulullah s.a.w. beberapa kali pernah melakukannya. Dan terdapat beberapa solat sunat yang memang disunatkan berjemaah. Dan tuntutan solat berjemah tidak dikenakan kepada perempuan, kanak-kanak dan juga para musafir.

(4)Menurut Ijma`:

Telah sabit ijma` al-sahabah bahawa tuntutan syarak terhadap solat berjama`ah adalah selepas Hijrah. Didalam Al-Ihya’, oleh Al-Ghazaliyy, dari Abu Sulaiman Al-Daraniyy katanya: “Tidak luput seseorang dari solat berjama`ah melainkan ia berdosa”. Katanya lagi: Golongan Al-Salaf mengurungkan diri mereka tiga hari jika tidak sempat solat bersama imam dengan takbir pertama, dan tujuh hari jika tidak sempat berjama`ah.

Wallahu’alam….

HasnulHadiAhmad.Com

Halaman Utama Himpunan Artikel Solat Fardhu Berjamaah ~ Klik Disini

Incoming search terms:
berkenaan solat,foto hadis shalat fardhu isya,hadis atau firman allah mengenai solat subuh,hadis tentang solat,hadith mengenai kebaikan solat,tuntutan solat
{ 0 comments… add one }

Leave a Comment

CommentLuv badge